GUEST

Sabtu, 6 Februari 2010

AJL 24, Freemason, Iluminati, Ghozwul Fikr

Anugerah juara lagu adalah suatu temasya yang sangat popular dan sinonim di kalangan penggemar muzik tanah air. Sudah hampir sebulan ia berlangsung, namun bahangnya masih ada yang memperkatakannya. Ironinya, Anugerah Juara Lagu 24 kali ini dikaitkan dengan unsur-unsur Freemason dan Iluminati, bentuk-bentuk syubhat Yahudi dan Nasrani di zaman mutakhir ini.

Apa yang lebih ironi dan mengecewakan, kesedaran masyarakat terhadap akidah hanya terlihat apabila mulai menyedari bayangan Freemason dan Iluminati dalam temasya tersebut. Adakah unsur Freemason dan Iluminati sahaja yang menjadikan AJL 24 menjadi sesuatu yang berBAHAYA? Andai kata tiada Freemason dan Iluminati, maka adakah AJL selamat ditonton oleh masyarakat? Freemason dan Iluminati adalah cabang-cabang dari Ghozwul Fikr yang menyerang umat ini. Andai kata, tiada kedua-dua unsur taghut ini, banyak lagi cabang-cabang Ghozwul Fikr yang menyerang umat.

Tanpa Freemason dan Iluminati pun, AJL akan tetap berlangsung sebagaimana biasa, muzik tetap bergema, tetap berlaku ikhtilat, akan ada juga penyanyi wanita yang membuka aurat dan mempersembah suaranya untuk umum, dan berbagai cabang lagi serangan pemikiran Kuffar walaupun bukan dalam bentuk freemason atau iluminati. Tidak sedikit yang sibuk mengaitkan penyanyi Alyah dengan Lady in Reds. Mungkin, jika dia tidak memakai pakaian gaun merah malam itu, orang tidak akan mengecamnya. Namun, kalau dia memakai gaun biru ke, hijau ke, menjadi Lady in Blue atau Lady in Green, selagi namanya adalah MEMBUKA AURAT, maka ia tetap berDOSA.

Apa yang ingin ditekankan adalah permasalahan sebenar AJL 24 bukan hanya semata-mata benda-benda Freemason Iluminati itu sahaja. Tetapi hakikat program itu sendiri yang menyalahi perintah Syara'. Penulis hanya memikirkan, kalau tema AJL 24 berkait rapat dengan Freemason dan Iluminati, nampak begitu ramai yang memboikot. Alhamdulillah, setidak-tidaknya masih ada kesedaran dalam memelihara akidah. Namun, andai kata AJL yang akan datang bertemakan IRAMA TRADITIONAL umpamanya, di situ tetap ada unsur-unsur maksiat seperti tarian, penari wanita, pakaian yang mendedahkan aurat (terutama wanita), ikhtilat dan sebagainya. Kalau unsur Freemason dan Iluminati ada kaitan dengan syirik, maka tidak ada bezanya dengan tarian kuda kepang sendiri yang ada kalanya membawa unsur-unsur syirik seperti pemujaan roh, namun masih ramai yang SAYANG kuda yang kepang dan menganggap ia adalah suatu khazanah bangsa yang mesti dipelihara!?

Kejelekan program seperti AJL dan seumpamanya bukan hanya kerana ada unsur-unsur seperti Freemason dan Iluminati,tetapi tetap ada unsur-unsur Taghut yang lain dalam program-program seperti itu. Jika ada yang menganggap unsur-unsur Ghozwul fikr yang ada dalam AJL seperti SONG, FEMALE, FUN dan yang sebagainya tidak ada kaitan dengan akidah seprtimana Freemason dan Iluminati, maka itu bermakna dia belum benar-benar mendalami ilmu akidah. Akidah sangat berkait rapat dengan iktikad. Maka berapa ramai yang telah menganggap enteng malah menganggap halal terhadap Taghut-taghut yang wujud dalam Ghozwul fikr seperti hal membuka aurat, muzik, ikhtilat dan sebagainya?? Adakah i'tikad-i'tikad sebegini tidak menggugat kesucian akidah??

Kesimpulannya, bukan Freemason dan Iluminati yang menjadi kayu ukur kesesatan dan ke'hampeh'an program AJL. Sebaliknya, yang menjadi kayu ukur sesuatu yang hak dan bathil adalah Quran dan Sunnah serta pemahaman yang benar terhadap kedua-duanya (pemahaman Salaf)

Wallahu A'lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan