GUEST

Rabu, 22 April 2009

Alaaa..apa sebab kena buat itu dan ini?

Ustaz : Tau tak apa hikmahnya solat?

Murid : Tak tau. Dah itu perintah agama..

Ustaz : Solat banyak faedahnya. Ia merupakan salah satu bentuk senaman. Tak payah penat-penat belajar yoga. Islam dah ada sistem senaman yang tersendiri.

Murid : Puasa pulak ustaz?

Ustaz : Puasa memberikan kesihatan kepada tubuh badan kita. Bayangkanlah, 11 bulan perut kita di siang hari memproses makanan. maka, Allah bagilah dalam tempoh setahun tu, 1 bulan untuk perut berehat. Ia melatih kita berjimat juga.

Murid : Tentang kena pakai tudung pulak ustaz? Tak relevanlah ustaz pakai tudung tengah-tengah panas. Sakit kepalaa...

Ustaz : Tudung dan menutup aurat ini memberi faedah kepada wanita dari gangguan lelaki. Lelaki ini suka mengusik perempuan yang suka pakai nampak bonjol-bonjol sana sini. Kalau wanita menutup aurat, Insya Allah, lelaki-lelaki di jalanan tidak akan berani nak kacau atau bersiul-siul. Kes rogol yang kerap berlaku selama ini mungkin akan berkurangan jika semua wanita menutup aurat dengan sempurna.

Kerana Itukah Kita Berbuat PerintahNya?

Memang benarlah, solat itu boleh bagi sihat tubuh badan. Puasa pun boleh merehatkan sistem pencernaan kita. Malah, ustazah sekolah ana pernah sebut, bertadarus AlQuran boleh menjadikan wajah kita awet muda. Mana taknya, nak menyebut setiap makhraj huruf, hukum-hukum tajwid menyebabkan lidah kita, gigi dan sebahagian otot-otot di sekitarnya bergerak. Tak payah kunyah-kunyah chewing-gum. Masalahnya, kerana semua perkara inikan kita beramal?

Solat itu mampu memberi kebaikan pada anggota badan. Tapi hikmah "sebagai suatu senaman otot" itu mungkin sahaja berada di ranking seribu daripada beribu-ribu hikmah solat. Begitu juga dengan puasa, menutup aurat dan sebagainya. Adakah kita hanya nak berbuat bila mana kita tahu hikmahnya dari segi jasmaniah. Untuk non-muslim, bolehlah kita cerita hikmah solat, puasa, menutup aurat itu,ini, dan sebagainya. Tapi untuk muslim, wajarkah kita asyik menceritakan hikmah sesuatu perintah itu dari sudut materi semata-mata. Sayanglah kalau begitu kan, bila tahu puasa tu boleh memberi kesihatan kepada orang yang berpuasa, baru nak berbuat, bukan atas asbab puasa itu adalah untuk mencari keredhaan Allah..

Sewajarnya, di dalam hati kita, ditanam suatu prinsip " Aku berbuat sesuatu perintah Allah kerana sememangnya ia adalah Perintah, maka aku akan berbuat tanpa terlalu banyak bersoal. Aku berbuat hanya kerana itu Perintah-MU". Lagipun dalam surah AlBaqarah ayat 285 ada disebut " Sami'na wa Ato'na" iaitu "kami dengar dan kami patuh", bukannya "kami dengar dan kami patuh setelah kami mengetahui hikmah-hikmah di sebaliknya"...

Tidak salah kita menyebut dan berbicara tentang keindahan dan hikmah di sebalik perintah Allah. Malah ia juga digalakkan, apabila kita mengetahui fadhilat-fadhilat solat dapat menjadi suatu senaman, puasa memberi kesihatan pada tubuh, Insya Allah iman kita akan sedikit meningkat kerana kita semakin yakin bahawa perintah Allah itu bukanlah suatu perintah yang sia-sia. Namun, janganlah hanya semata-mata hikmah-hikmah duniawi kita berbuat suatu perintah agama. Biarlah tatkala melaksanakan sesuatu perintah Allah, iman kita berbicara bahawasanya " Aku berbuat semua perintahMu ini kerana ia adalah perintahMu dan tiada lain yang aku dambakan selain keredhaanMU"..

1 ulasan: