Isu penggunaan nama 'Allah' oleh sesetengah pihak di pandang sebagai sesuatu yang sangat sensitif. Ia membangkitkan semangat juang umat Islam di Malaysia supaya bangkit menentang penggunaan nama 'Allah' oleh non-Muslim walhal kalau kita pergi di negara-negara Arab seperti di Arab Saudi, umat Kristiannya juga menggelarkan Tuhan mereka sebagai 'Allah'. Sebelum nie juga kecoh dengan permasalahan seorang tokoh politik sebelum ini yang menggunakan kalimah ayat Quran dalam ucapannya dan dibantah oleh sesetengah pihak yang 'tiba-tiba sahaja sensitif' sedangkan sebelum nie, hal-hal agama dianggap sebagai perkara picisan sahaja atau sekadar penyedap rasa untuk sesuatu program bertaraf MEGA.
Dalam hal ini, penulis tidaklah bersikap menyokong penggunaan nama Allah oleh Kaum Kuffar yang mungkin mereka ada agenda tertentu atau bertujuan menyebarkan agenda 'Pluralisme'. Namun penulis lebih-lebih lagi tidak bersetuju dengan tindakan bodoh segelintir puak yang menyerang dua buah gereja Kristian yang terletak di Desa Melawati, Kuala Lumpur dan Jalan Templer, Petaling Jaya. Kebodohan-kebodohan sebeginilah yang menyebabkan umat Islam terus diperlekeh sebagai puak terrorist, pengganas dan sebagainya. Bila dituduh, kita melenting dan terus mengatakan 'Islam ni agama yang aman' tetapi tindakan sebahagian 'puak jahiliyyah' inilah yang menyebabkan Islam terus dilabel sedemikian rupa.
Suatu hal yang lebih mengecewakan, mereka marah dengan penggunaan nama 'Allah' oleh non-Muslim, namun adakah kita sebagai Muslim yang sejati benar-benar telah menjaga kalimah 'Allah' dan menegakkan kalimah 'Allah' dengan kalimah 'Laa Ilah illa ALLAH', kalimah yang menafikan segala kekuasaan selain Allah.
Dalam kesibukan memprotes masalah ini, pernahkah kita menanyakan diri sendiri, adakah kita telah menjaga kalimah 'Laa Ilah Illa ALLAH' dalam diri kita? Umat Islam sibuk menyerang kaum kafir yang menyalah gunakan nama Allah tetapi tidak pula sibuk menentang sebarang bentuk syirik, bidaah, khurafat yang berleluasa dalam masyarakat. 'Orang-orang agama' tidak terlepas memanaskan isu ini agar mereka mendapat perhatian masyarakat dan tidak tegar memberitahu masyarakat tentang kekeliruan masyarakat dalam agama mereka sendiri.
Mereka beria-ia ingin menjaga kalimah Allah agar jangan dieksploitasi oleh golongan tertentu, namun bila ditanyakan kepada mereka soalan akidah yang sangat basic "aina Allah?", adakah semua yang sibuk memprotes ini tahu apakah jawapannya? Kalau yang tahu jawapannya iaitu "Allah di atas langit", itu tidak mengapalah, at least mereka tahu 'siapakah Allah' yang ingin mereka jaga kalimahNya agar tidak tercemar oleh golongan Kuffar. Tapi bagi mereka yang jawapannya "entah, tidak tahu", " Allah ada di mana-mana", "Allah ada dalam setiap hati manusia", maka lebih baiklah 'puak-puak' ini duduk dalam rumah jer, cari ustaz yang tulen, baca kitab banyak-banyak, dan pelajari Asma' wa Sifat, kerana mereka sendiri tidak tahu 'siapakah Allah' yang ingin mereka pelihara kesucian kalimahNya.
Sebagai penutup kata, penulis ingin sampaikan nasihat daripada seorang ulama Jordan, Syaikh Salim, dipetik daripada blog sahabat ana, http://penaminang.blogspot.com/
A) Jangan sesekali kamu berpegang kepada benda yang kamu tidak tahu. (Jangan sesekali kita memperkatakan sesuatu hal tanpa kita mengetahui maklumat yang sebenar / jangan menuduh sesiapa selagi mana kita tidak ada bukti yang sahih / jelas)
B) Dalam situasi sebegini, Umat ISLAM diminta untuk berdiam diri dari mengeluarkan sebarang kenyataan. Biarkan ulama dan pemerintah menyelesaikan masalah ini.
C) Keluar dan berbicara serta mengingkari apa yang yang dilakukan oleh pelaku berkenaan. (Keluarkan kenyataan tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh pelaku tersebut / Menerangkan kepada orang bukan ISLAM bahawa ISLAM tidak pernah menyuruh umatnya menyerang manusia yang tidak bersalah)
D) Dekati ulama dan jangan mengikut hawa nafsu (Apabila timbul persoalan sebegini, maka patut Masjid-Masjid dipenuhi dengan orang ISLAM bagi mendapatkan maklumat sebenar mengenai isu ini dari perspektif ulama dan tidak hanya bersandarkan akal fikiran / Tidak ikut hawa nafsu, sebaliknya menyerahkan perkara ini pada tangan ulama)
Jumaat, 8 Januari 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan